Langkah Malaysia terhenti di separuh akhir - Utusan Malaysia

Langkah Malaysia terhenti di separuh akhir

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat Malaysia untuk memahat sejarah mara ke final badminton Piala Sudirman buat kali pertama tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada Jepun dalam separuh akhir, sebentar tadi.

Lee Zii Jia cemerlang menumpaskan pemain No. 1 dunia, Kento Momota, namun kekalahan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, S. Kisona (perseorangan wanita) dan Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) mengakhiri langkah Malaysia di Vantaa, Finland.

Biarpun gagal melangkah ke peringkat seterusnya, skuad muda negara wajar mendapat pujian apabila memberikan tentangan hebat sepanjang kejohanan.

Kemenangan sensasi 3-2 ke atas Indonesia pada suku akhir semalam membuktikan barisan muda negara mempunyai masa depan yang amat cerah.

Dalam aksi hari ini, Malaysia bermula dengan langkah sumbang selepas pasangan No. 8 dunia, Aaron-Wooi Yik tewas 15-21, 14-21 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Peluang untuk melakar kejutan tampak semakin tipis selepas Malaysia ketinggalan 0-2 ekoran kekalahan mudah S. Kisona 7-21, 5-21 kepada pemain No. 5 dunia, Akane Yamaguchi.

Zii Jia, 23, bagaimanapun menghidupkan kembali harapan pasukan negara apabila menebus dendam atas kekalahan kepada Momota di peringkat kumpulan dengan menumpaskan jaguh No. 1 dunia itu 22-20, 21-19.

Ketinggalan 1-2, Malaysia memerlukan kemenangan daripada beregu wanita, Pearly-Thinaah untuk mengheret saingan ke perlawanan kelima beregu campuran.

Pearly-Thinaah berjaya memberi tentangan sengit kepada Mayu Matsumoto-Misaki Matsumoto sebelum akur 19-21, 17-21.

Dengan berakhirnya kempen Malaysia di Finland, barisan muda negara akan berehat seketika sebelum kembali ke gelanggang untuk kejohanan Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark dari 9-17 Oktober.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya