MANCHESTER: Jurgen Klopp bersimpati dengan Ole Gunnar Solskjaer selepas Liverpool membelasah Manchester United 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.
Hatrik Mohamed Salah dan satu gol masing-masing menerusi Naby Keita serta Diogo Jota memberi mimpi ngeri buat United yang sudahpun kalah 4-2 kepada Leicester dalam aksi terakhir.
Ketika Paul Pogba dibuang padang pada minit ke-60 dan Liverpool sedang mendahului 5-0, ramai menjangkakan Red Devils akan terus ‘diratah’ di Old Trafford.
Klopp bagaimanapun memberi isyarat ‘cool down’ kepada anak-anak buahnya dari tepi padang.
Pemain Liverpool mula mengendurkan permainan dan banyak melakukan hantaran sesama sendiri.
Pertama mereka mahu menyimpan tenaga dan kedua tidak mahu mengaibkan lagi musuh ketat mereka.
“Perkara terakhir yang saya mahu terjadi adalah ‘berada dalam kasutnya’ ketika ini.
“Itu detik yang teruk apabila anda kalah perlawanan, tewas dalam aksi derby terutamanya. Ia pernah berlaku kepada saya beberapa kali.
“Anda tidak mahu keluar dan menjawab wawancara serta semua soalan-soalan, sudah tentu ia bukan malam yang bagus,” kata Klopp kepada pemberita.
Diletakkan sebagai calon juara Liga Perdana musim ini bersama Liverpool, Manchester City dan Chelsea, United bagaimanapun jatuh ke tangga ketujuh liga selepas sembilan perlawanan.
Klopp juga mengakui, dia pada mulanya percaya Cristiano Ronaldo patut dilayangkan kad merah kerana menendang perut Curtis Jones ketika pemain muda Liverpool itu sudah terjatuh.
Bagaimanapun, dia memahami tindakan pengadil tidak membuang padang bintang Portugal itu.
“Sudah tentu saya nampak insiden itu dan ia kelihatan seperti kad merah, tapi saya diberitahu Ronaldo menendang bola atau tidak dengar tiupan wisel.
“Saya tidak mahu Cristiano mendapat kad merah,” katanya. – AGENSI