PETALING JAYA: Biarpun hampir setahun tidak berlumba, namun bakat Khairul Idham Pawi belum berkarat apabila meraih kemenangan dalam Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) di Litar Antarabangsa Sepang semalam.
Terkenal dengan julukan SuperKIP, pelumba kelahiran Perak itu cemerlang dalam perlumbaan pertama bersama pasukan ONEXOX TKKR Racing apabila menjuarai kelas 600cc.
Biarpun menganggap kemunculan sulung dalam MSBK sebagai ‘track day’ iaitu perlumbaan pemanas badan untuk menyesuaikan diri dengan litar, namun DNA juara jelas mengalir di tubuh pelumba berusia 23 tahun itu.
Bekas pemenang dua perlumbaan Moto3 itu bijak mencuri peluang pada baki lima pusingan terakhir untuk memintas Helmi Azman (Boon Siew Honda Racing) dan Syarifuddin Azman (SIC Racing).
“Saya ada sedikit masalah di awal saingan, jadi hanya ikut mereka di depan dan saya lihat Ibrahim Norrodin (SIC Racing) serta Azroy Hakeem Anuar (Boon Siew Honda) ada masalah selepas terjatuh.
“Saya cuba kejar dan akhirnya memintas seorang demi seorang untuk berada di depan Saya akui agak penat kerana ini perlumbaan pertama tahun ini.
“Apa pun saya sangat gembira kerana berjaya meraih kemenangan,” kata Khairul.
Dalam pada itu, pelumba berbakat, Syarifuddin yang menduduki tangga kedua bertekad untuk bangkit bergelar juara pada perlumbaan kedua hari ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras menyediakan jentera yang sangat baik. Saya sangat gembira kerana dapat menaiki podium.
“Saya teruja ketika bersaing dengan Helmi di selekoh terakhir. Apa pun jumpa esok saya akan buat terbaik pada perlumbaan kedua,” katanya.