LEICESTER: Desakan agar Ole Gunnar Solskjaer dipecat semakin kuat kedengaran di media sosial selepas Manchester United tumpas 4-2 kepada Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power, sebentar tadi.
Kekalahan terbaharu itu bermakna United hanya mencatat dua kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir (semua pertandingan), sekali gus terlepas peluang menghambat musuh tradisi, Liverpool yang merampas takhta liga selepas membelasah Watford 5-0 dalam aksi terdahulu.
Bintang muda Red Devils, Mason Greenwood yang diturunkan dalam kesebelasan utama memberi permulaan sempurna buat pasukannya apabila meledak gol cantik yang membolehkan mereka mendahului seawal minit ke-19.
Bagaimanapun, The Foxes membalas dengan jaringan menakjubkan Youri Tielemans pada minit ke-31, sekali gus menyaksikan perlawanan semakin menarik.
Ketangkasan penjaga gol United, David de Gea di hujung babak pertama menyelamatkan gawang mereka daripada dibolosi lebih banyak, namun memasuki separuh masa kedua, Caglar Soyuncu tidak melepaskan peluang meletakkan tuan rumah di depan menerusi rembatan cantik minit ke-78.
Drama di Stadium King Power semakin menarik selepas Marcus Rashford yang membuat penampilan pertama setelah hampir tiga bulan disisihkan akibat kecederaan tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-82.
Begitupun, Jamie Vardy juga tidak memberi peluang kepada Red Devils untuk bergembira lebih lama apabila kembali meletakkan The Foxes di depan seminit kemudian.
Ketika United bekerja keras untuk mencari gol penyamaan dan pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata, Patson Daka meranapkan sisa harapan mereka dengan meledak gol keempat Leicester pada waktu kecederaan. – AGENSI