MISANO: Pengarah Urusan Yamaha, Lin Jarvis mengakui, gelaran MotoGP dunia yang dirangkul Fabio Quartararo menyeronokkan berbanding ketika pasukan itu menjulang kejuaraan terakhir menerusi Jorge Lorenzo pada 2015.
Quartararo, 22, mengembalikan kejuaraan utama dunia kepada Yamaha sejurus tamat Grand Prix (GP) Emilia Romagna di Itali minggu lalu iaitu enam tahun selepas Lorenzo melakukannya buat pasukan.
Jaguh muda Perancis itu adalah pelumba Yamaha ketiga merangkul kejuaraan di bawah Jarvis selepas Lorenzo dan juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi.
“Secara jujur, saya langsung tidak menjangkakan dia (Quartararo) akan menjadi juara dunia begitu cepat, namun dia mengharungi musim menakjubkan dan sememangnya layak dinobatkan sebagai pemenang.
“Dia menampilkan aksi konsisten sepanjang musim dan sentiasa mendapatkan mata.
“Saya sangat gembira kerana kami kembali memiliki juara dunia selepas enam tahun,” kata Jarvis.
Meskipun mengakui kejuaraan kali ini tidak sama seperti musim 2015, yang mana dua pelumba mereka, Lorenzo dan Rossi menghuni kedudukan 1-2, namun Jarvis menegaskan, kemenangan Quartararo lebih menyeronokkan.
“Ketika kami merangkul kemenangan 1-2 pada 2015, ia tidak begitu menyeronokkan kerana berlaku terlalu banyak kontroversi.
“Kali ini, kami benar-benar nikmati kejuaraan kerana ia kemenangan yang mutlak,” ujarnya. – AGENSI