KOTA BHARU: Kelantan FC tekad meraih tiga mata pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia menentang PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Penolong jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya berkata,meskipun kelebihan dilihat berpihak kepada lawan namun The Red Warriors (TRW) tidak akan memberikan laluan mudah PJ City.
Menurutnya, barisan TRW sudah bersedia untuk berdepan PJ City dan rata-rata mereka dilihat sudah tidak sabar untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti.
“Selepas dua perlawanan, Kelantan FC dan PJ City ketika berkongsi mata. Jesteru TRW perlukan kemenangan pada perlawan malam ini jika mahu melangkah ke pusingan berikutnya,” katanya.
Mengulas mengenai ketiadaan Mario Arques yang sudah tidak lagi bersama TRW, Rezal Zambery memberitahu tiada masalah buatnya untuk menyediakan ramuan terbaik mengharungi saingan Piala Malaysia.
Katanya, rata-rata pemain yang diletakkan untuk mengemudikan barisan tengah Kelantan FC beraksi dengan cukup baik dalam dua perlawanan sebelum ini.
“Saya harap pemain ini dapat mengekalkan momentum itu bagi memastikan Kelantan FC memberikan aksi terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, tonggak pertahanan Kelantan FC Mohd. Zubir Azmi tekad membantu pasukan meraih kemenangan sulung dalam kempem musim ini.
Katanya, seluruh pemain TRW perlu beraksi sebagai satu pasukan bagi memastikan mata penuh menjadi milik mereka.
“Inilah masa terbaik untuk mencari jalan bagi mencapai kemenangan,” katanya.