KUANTAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mengambil tindakan tegas dengan menamatkan kontrak jurulatih yang terbabit dengan salah laku dan sama sekali tidak pernah melindungi kesalahan mana-mana individu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, tindakan tersebut diambil sebaik sahaja laporan polis dibuat terhadap jurulatih, terutama perkara melibatkan pengurusan atlet negara.
“KBS tidak pernah melindungi atau cuba melindungi sebarang salah laku yang didakwa sekiranya ia membabitkan keselamatan dan maruah atlit negara.
“Berhubung dakwaan Datuk Pandelela Rinong, KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengambil tindakan sebaik sahaja menerima laporan rasmi dengan tidak menyambung kontrak mereka sebaik sahaja tamat,” katanya kepada pemberita ketika ditanya pendedahan Pandelela tentang salah laku bekas jurulatih atlet berkenaan di sini hari ini.
Lian Ker berkata, kementerian sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyenarai, sekali gus menangani salah laku yang berlaku sejak tahun lalu.
Katanya, ia bertujuan memberi ruang kepada semua atlet menyalurkan maklumat salah laku atau apa sahaja sepanjang mereka menjalani latihan.
“Kita tidak pernah berkompromi dengan mana-mana salah laku dan memandang serius jika ada laporan dibuat. Setakat ini tidak ada isu lain timbul dan jika ada, kita galakkan mereka menyalurkan maklumat dan kita beri jaminan akan melindungi pemberi maklumat,” katanya.
Sementara itu, semalam, atlet terjun kelahiran Sarawak itu ada mendedahkan pernah mempunyai pengalaman buruk bersama jurulatihnya yang sering membuat lawak berbau lucah.
“Dulu saya ada seorang ‘coach’ ni suka buat lawak lucah, saya buat diam je tak pun fake laugh sebab takut dia. Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik. 7 tahun kemudian dia buat kes rogol,” luahnya menerusi ciapan di laman sosial Twitter.
Sementara itu, menerusi ‘tandapagar’ #rapejokeisnotfunny, Pandelela menyambung perkongsiannya itu selang beberapa minit menerusi ciapan balas: “Tapi paling sedih dalam tujuh tahun tu dia buat hal setiap tahun. Tapi kami atlet tak boleh buat apa, sebab ‘back up’ besar dia adalah ‘head coach’ kami sendiri.”
Dalam pada itu, beliau segera menulis ciapan balas menyatakan mereka bernasib baik kerana dilindungi persatuan sukan tersebut.