LONDON: Jamie Redknapp memuji Harry Kane selepas penyerang Tottenham itu menjaringkan gol pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris ketika membantu Spurs menumpaskan Newcastle 3-2 kelmarin.
Pada awalnya dia dikatakan berada dalam keadaan ofsaid, namun video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringan itu dibenarkan.
Kane sebelum ini menerima pelbagai kritikan selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam enam penampilan sebelum ini.
Bagaimanapun, Redknapp berkata, walaupun dia bergelut bersama kelab dan skuad kebangsaan, dia masih memiliki sentuhan penyudah yang baik.
“Kane seperti hidup semula selepas meledak jaringan yang cantik dalam perlawanan ini, dia seolah-olah berada dalam kelas tersendiri,” katanya.
Kane menjadi buruan Manchester City pada musim panas lalu tetapi perpindahan itu gagal direalisasikan kerana beberapa masalah.
Kane berharap dapat menamatkan kemarau jaringan liga dan kerap menjaringkan gol dalam saingan kali ini.
Musim lalu Kane meledak 23 gol buat Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris.-AGENSI