PETALING JAYA: Menyambut baik Bajet 2022 yang dibentangkan kelmarin, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagaimanapun memohon agar RM5 juta daripada RM10 juta yang diperuntukan kepada sukan para disalurkan terus kepada mereka.
Kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan RM10 juta akan diperuntukan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi melaksanakan program latihan atlet para serta Liga Sukan OKU (Orang Kelainan Upaya).
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, memandangkan badan itu membangunkan program atlet para negara, mereka memohon diberi lebih dana.
“Saya harap RM5 juta diberikan kepada MPM memandangkan kami sudah memohon sendiri untuk memperkasakan program akar umbi melalui pencarian bakat serta latihan.
“Saya gembira dan sedih kerana sebelum ini saya sendiri bekerja keras mohon kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dana RM5 juta ini spesifik untuk pembangunan akar umbi,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Di bawah pimpinan Megat D Shahriman, Malaysia membawa pulang tiga emas dan dua perak dalam Sukan Paralimpik Tokyo, September lalu, sekali gus mengatasi pencapaian di Rio 2016 iaitu tiga emas serta satu gangsa.
Megat D Shahriman juga berharap menerusi peruntukan itu, MPM mampu menghasilkan atlet berkualiti untuk diserap masuk ke program elit MSN.
“Program elit para MSN yang jaga, kita kendalikan pembangunan akar umbi bagi menghasilkan atlet terbaik.
“MPM akan cuba beri yang terbaik dalam menyalurkan atlet berkualiti,” ujarnya.