PETALING JAYA: Mengalahkan Denmark dalam aksi pembukaan Kumpulan D hari ini akan mencerahkan peluang Malaysia untuk ke suku akhir kejohanan badminton Piala Uber kerana lawan yang bakal ditentang esok, China jauh lebih sukar.
Secara fizikal, pemain negara berada dalam keadaan terbaik untuk memulakan kempen dengan menentang tuan rumah di Aarhus, Denmark hari ini.
Bagaimanapun apa yang membimbangkan Wong Choong Hann bagaimana pemain muda negara dengan purata umur 22 tahun mampu menangani persekitaran di Ceres Arena, selain pengharapan peminat selepas meraih gangsa pada Piala Sudirman minggu lalu.
Juara Sukan SEA, S. Kisona dan beregu Pearly Tan-M. Thinaah sekali lagi menjadi sandaran terbaik untuk mendapatkan mata dalam kejohanan berpasukan wanita itu.
“Saya percaya pemain mempunyai masa yang cukup untuk kembali cergas selepas beraksi dalam Piala Sudirman.
“Secara fizikal, saya percaya mereka akan dapat mengatasi rasa letih dengan syarat mereka benar-benar sedia secara mental. Kebanyakan pemain masih muda dan beraksi kali pertama di peringkat tinggi.
“Mereka akan berdepan pengalaman berbeza dan harus membiasakan diri dengan persekitaran,” kata Ketua Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.
Juara Terbuka Switzerland, Pearly-Thinaah menunjukkan peningkatan besar dalam Piala Sudirman selepas hampir mengejutkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Greysia Polii-Apriyani Rahayu sebelum tunduk 20-22, 21-17, 18-21 ketika Malaysia menyingkirkan Indonesia di suku akhir.
Gandingan muda negara itu juga memberi tentangan hebat kepada pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Misaki Matsumoto di separuh akhir sebelum kalah 19-21, 17-21.
Piala Uber juga akan menjadi pentas terakhir bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei sebelum menggantung raket, manakala Eoon Qi Xuan dijangka turun sebagai perseorangan ketiga dan Teoh Mei Xing-Yap Ling beregu kedua.