PETALING JAYA: Sudahpun menjaringkan gol kemenangan Malaysia dalam dua aksi pertama, Nur Azfar Fikri Azhar makin bersemangat untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila menentang Thailand dalam penentuan juara Kumpulan J, kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Mongolia hari ini.
Skuad kendalian Brad Maloney kini memimpin kumpulan dengan enam mata selepas menumpaskan Laos dan Mongolia 1-0 dalam dua perlawanan pembukaan.
Seri atau menang ke atas Thailand akan memberi mereka tiket automatik ke pentas Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan.
Azfar yang terkenal dengan julukan ‘Kaka’ menegaskan, perlawanan menentang Thailand bukan sekadar tentang meraih tiket automatik ke Piala Asia B-23 tetapi melibatkan soal maruah.
“Peluang sekarang lebih 50 peratus untuk kita layak ke pusingan akhir. Perlawanan akhir menentang Thailand sudah tentu kita nak tiga mata.
“Berdepan Thailand juga melibatkan maruah dan saya mahu terus jaringkan gol. Dua jaringan yang diperolehi bukan sebab saya seorang tapi atas bantuan rakan-rakan sepasukan,” katanya.
Pemain berusia 21 tahun itu yang dipanggil pada saat akhir menyertai skuad B-22 selepas gagal memikat hati Maloney dalam fasa latihan pertama berjaya membalas kepercayaan dengan mempamer aksi memikat di Mongolia.
“Mula-mula saya pergi fasa pertama latihan dan untuk ke fasa kedua nama saya tidak tersenarai tapi saat akhir ada pemain cedera. Jurulatih memanggil saya dan Alhamdulillah terpilih dalam skuad.
“Saya berjanji kepada diri untuk memperbaiki kelemahan dan memberi aksi terbaik bersama pasukan negara,”katanya.