Jerman sehebat Itali, Perancis - Utusan Malaysia

Jerman sehebat Itali, Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKOPJE, Marcedonia: Lima kemenangan daripada lima perlawanan, dan berjaya menjadi pasukan pertama layak ke Piala Dunia 2022, satu lagi malam yang sempurna buat Hansi Flick.

Hampir empat bulan selepas kekalahan 0-2 kepada England dalam pusingan kedua Euro 2020, Jerman mempamer transformasi di bawah bimbingan Flick yang menggantikan Joachim Loew.

Awal pagi tadi, mereka melakar satu lagi kemenangan sempurna 4-0 ke atas Macedonia Utara di Skopje, sekali gus menebus kekalahan 1-2 di tangan lawan yang sama pada 1 April lalu.

Kata Flick, 56, perjalanan Jerman masih jauh, namun juara Piala Dunia 2014 itu telah membuktikan mereka mampu bersaing dengan pasukan terbaik dunia.

TIMO Werner (kanan) meledak dua gol buat Jerman.

“Pasukan kami mempunyai kualiti untuk berdepan Perancis, Itali dan Belgium. Saya sangat optimis.

“Kami sudah melayakkan diri seperti dimahukan, saya perlu memuji sikap yang ditunjukkan semua pemain, mereka tidak beri peluang kepada lawan,” kata Flick.

Timo Werner meledak dua gol buat skuad Die Mannschaft pada minit ke-70 dan 73 selepas rakan sepasukannya di Chelsea, Kai Havertz terlebih dulu meledak gol pembukaan, minit ke-50.

KAI Havertz meledak gol pembukaan Jerman.

Pemain remaja sensasi, Jamal Musiala, 18, yang dibawa masuk sebagai gantian, melengkapkan gol keempat, tujuh minit sebelum tamat permainan.

Kemenangan itu membolehkan Jerman mengukuhkan kedudukan pendahulu Kumpulan J dengan lapan mata mengatasi Macedonia.

Werner berkata, kepercayaan Flick terhadapnya membantu dia menepis kritikan atas prestasi hambarnya dalam beberapa bulan sebelum ini.

PEMAIN Jerman meraikan kemenangan ke atas Macedonia Utara dalam kelayakan Piala Dunia di Skopje, Macedonia.

“Apabila jurulatih suka dan percaya anda, ia akan membantu sesiapa saja termasuk saya. Saya perlukan kepercayaan itu dan Flick memberikan kepada saya 100 peratus,” katanya.

Jerman yang menjadi pasukan pertama mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2022 di Qatar tidak pernah gagal melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu dalam sejarah mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya