LONDON: Isteri bekas bintang penyerang Manchester United, Wayne Rooney, Coleen dikatakan telah menghubungi Georgina Rodriguez untuk menjalin persahabatan dengan teman wanita Cristiano Ronaldo itu.
Coleen, 35, ‘mencari’ Rodriguez, 27, untuk menghulur persahabatan selepas jelitawan Argentina itu berpindah ke Cheshire mengikuti Ronaldo yang kembali ke pangkuan United, Ogos lalu.
Biarpun Rodriguez cuba menghindari gaya hidup glamor isteri-isteri bintang bola sepak England yang dikenali sebagai WAG, namun dia tetap melayani Coleen kerana menghormatinya sebagai isteri kepada bekas rakan sepasukan Ronaldo.
“Walaupun Wayne dan Cristiano bukan lagi rakan sepasukan, mereka adalah teman baik.
“Coleen menolong Georgina dengan memberi nasihat mengenai Cheshire kerana mereka telah menghabiskan bertahun-tahun di sana.
“Coleen tahu banyak yang akan dilalui apabila berdamping dengan bintang bola sepak, jadi dia menghubungi Georgina bagi memberitahu dia ada di sana untuk mereka.
“Mereka telah bertukar mesej dan berharap dapat keluar makan tengah hari bulan depan,” kata sumber kepada akhbar The Sun.
Persahabatan itu terjalin ketika Coleen sedang melakukan persiapan untuk melancarkan dokumentari tentang kehidupannya yang luar biasa sebagai isteri kepada bintang penyerang United dan England, selain ibu kepada empat orang anak.
Dalam dokumentari Amazon yang akan ditayangkan tahun depan, Coleen turut bercakap mengenai isu hubungan sulit Wayne serta skandal seks suaminya yang telah menggegar perkahwinan mereka selama bertahun-tahun.
Treler dokumentari yang dijangka laris itu sudah dilancarkan minggu minggu ini.
Antara sedutan menarik temu bual Coleen: “Saya tahu dengan siapa Wayne selalu menghabiskan masa. Bersama mengambil alkohol, ia tidak bagus. Saya memaafkannya tetapi tidak boleh diterima.” – AGENSI