Indonesia terkilan dalam gembira - Utusan Malaysia

Indonesia terkilan dalam gembira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AARHUS, Denmark: Indonesia menamatkan penantian 19 tahun dengan menjulang kejuaraan badminton Piala Thomas selepas menumpaskan juara bertahan, China 3-0 di Arena Ceres semalam.

Sayangnya, tiada kibaran bendera merah putih saat upacara penyerahan trofi kepada pasukan mereka.

Semuanya gara-gara negara itu gagal mematuhi Kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Situasi tersebut amat dikesali oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Indonesia (KOI), Raja Sapta Oktohari.

ANTHONY Sinisuka Ginting menghadiahkan mata pertama Indonesia.

“Saya sebagai Ketua Jawatankuasa Olimpik Indonesia bangga dengan penampilan pasukan Piala Thomas kita tetapi juga sangat kecewa dan sedih kerana upacara penyerahan pingat hanya diiringi bendera PBSI (Persatuan Badminton Indonesia),” katanya.

Raja Sapta Oktohari berkata, Lembaga Anti-Doping Indonesia (LADI) bertanggungjawab terhadap kekecewaan rakyat Indonesia kerana gagal menerapkan Kod Anti-Doping WADA 2021.

“Bukan hanya soal pengibaran bendera dalam penyerahan trofi Piala Thomas, malah kita juga terancam tidak dapat menjadi tuan rumah dalam sebarang kejohanan sukan.

 

 

“Indonesia juga tidak boleh mengibarkan bendera mereka dalam kejohanan serta temasya sukan di peringkat antarabangsa selepas setahun dan sehingga isu tersebut diselesaikan,” katanya.

Indonesia muncul pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Thomas dengan merangkul 14 kejuaraan, namun kali terakhir mereka membawa pulang gelaran adalah pada 2002 di Guangzhou, China selepas menewaskan Malaysia 3-2 dalam final.

Pemain No. 5 dunia, Anthony Sinisuka Ginting mengutip mata pertama Indonesia dalam perseorangan dengan menewaskan pemain No. 27 dunia, Lu Guang Zu 18-21, 21-14, 21-16.

FAJAR Alfian-Muhammad Rian Ardianto mengutip mata kedua Indonesia.

Indonesia menurunkan beregu ketiga negara itu, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto biarpun memiliki pasangan No. 1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dan No. 2 dunia, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan.

Pasangan No. 7 dunia itu bagaimanapun melakar kejutan apabila hanya mengambil masa 42 minit untuk menyumbang mata kedua dengan menewaskan He Ji Ting-Zhou Hao Dong 21-12, 21-19.

JONATAN Christie mengesahkan kemenangan Indonesia dengan meraih mata ketiga.

Indonesia mengesahkan kejuaraan apabila pemain No. 7 dunia, Jonatan Christie berhempas pulas mengalahkan pemain No. 65 dunia, Le Shi Feng, 21-14, 18-21, 21-14 dalam aksi 80 minit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya