PETALING JAYA: Mempunyai peluang dan cukup kelengkapan menjadi syarat wajib buat pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk beralih ke bidang kejurulatihan suatu hari nanti.
Pelumba berusia 27 tahun itu berkata, dia sedia menggunakan pengalaman di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia untuk menggilap bakat-bakat pelumba tempatan.
“Ada peluang dan cukup kelengkapan, saya rasa tiada masalah untuk membantu pelumba muda merealisasikan impian mereka ke pentas antarabangsa.
“Saya boleh bantu dengan pengalaman sepanjang beraksi di Kejuaraan Dunia sebab saya sedih melihat pelumba Malaysia di Kejuaraan Dunia makin berkurang.
“Mungkin ada sebab-sebab tertentu (mengapa ia boleh berkurang). Terus-terang saya cakap, mungkin disebabkan politik, kita dihimpit situasi seperti ini.
“Kalau ada peluang, saya mahu bantu pelumba-pelumba muda ini untuk mengharumkan nama Malaysia.
“Saya telah melalui perjalanan yang panjang di pentas ini dan kalau boleh saya mahu mereka ke sana dengan motivasi yang tinggi,” kata Hafizh dalam sidang akhbar baru-baru ini.
Hafizh, yang akan meninggalkan Kejuaraan Dunia selepas lapan tahun menyertainya secara semusim penuh, masih belum memutuskan hala tuju biarpun dikaitkan dengan Kejohanan Superbike Dunia (WSBK).