PETALING JAYA: Penganjuran Liga Bola Sepak Wanita Selangor (WSL) yang julung kali diadakan bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat lebih ramai pemain tempatan, malah melahirkan jurulatih, pengadil serta pegawai dalam kalangan kaum hawa.
Menyedari bola sepak wanita sering terpinggir dengan satu-satunya kejohanan yang boleh disertai adalah Piala Tun Sharifah Rodziah, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil inisiatif memperkenalkan WSL bermula 29 November ini.
Sebagai permulaan, liga berkenaan akan menampilkan 12 pasukan dari sekitar Lembah Klang, di mana setiap pasukan wajib mendaftarkan dua pegawai wanita.
Memandangkan ini kali pertama WSL diperkenalkan, pengadil dan pegawai perlawanan tidak menampilkan wanita sepenuhnya.
HEBAHAN MEDIA | PERSATUAN BOLASEPAK SELANGOR UMUM FAS WOMEN’S SUPER LEAGUE
Bacakan 'thread' ini untuk lebih maklumat.#ThisIsOurTime pic.twitter.com/pwe9MMUNO7
— FA Selangor (@FASelangorMY) October 14, 2021
Begitupun, FAS akan mengadakan klinik bagi membimbing mereka melakukan persediaan bukan sahaja menjadi pengadil, malah jurulatih dan pegawai pada edisi akan datang.
“Pasukan yang ingin beraksi perlu memiliki sekurang-kurangnya dua pegawai wanita kerana liga itu untuk memperkasakan peranan wanita.
“Kami juga akan mengadakan kursus kejurulatihan untuk wanita sempena penganjuran liga kerana mahu mereka terlibat aktif dalam sukan ini selain menghapuskan persepsi bola sepak hanya untuk lelaki.
“Kita juga mahu Malaysia menjadi seperti negara Asia lain maju dalam bola sepak wanita,” kata Setiausaha Agung FAS, Muhammad Izrin Nabil Ismail kepada Utusan Malaysia semalam.
FA Selangor proudly bring to you the FAS Women's Super League (WSL) 2021!
WSL is a platform that aims to push the women's football scene in Selangor into the forefront giving the opportunity to all women's football teams to reach greater heights and shine like the professionals. pic.twitter.com/tdxlwMaSOh
— FA Selangor (@FASelangorMY) October 13, 2021
FAS turut berazam membangunkan pengadil, pemain wanita berkaliber serta peranan penting dalam industri dijalankan sepenuhnya oleh golongan wanita seperti pegawai media, pereka grafik dan krew siaran langsung.