PARIS: Legenda Perancis dan Manchester United, Patrice Evra ‘muak’ anugerah Ballon d’Or sering diberikan kepada Lionel Messi dan menyokong pasangan Chelsea, N’Golo Kante atau Jorginho untuk menerima penghormatan pemain bola sepak terbaik dunia itu.
Messi, 34, yang sudah memenangi trofi enam kali menjadi pilihan untuk merangkul anugerah ketujuhnya dalam majlis yang akan diadakan di Paris pada 29 November ini.
Kapten Argentina itu memenangi anugerah berprestij tersebut buat kali pertama pada 2009, diikuti 2010, 2011, 2012, 2015 dan 2019.
Bagaimanapun Evra percaya, Kante, 30, dan Jorginho, 29, lebih berhak menerima anugerah.
Dua pemain itu menjadi tonggak Chelsea ketika menjulang Liga Juara-Juara buat kali kedua, Mei lalu, malah Jorginho membantu Itali merangkul kejuaraan Eropah (Euro 2020).
Messi pula dinobat sebagai Pemain Terbaik Copa America tahun ini selepas membantu Argentina muncul juara buat kali pertama sejak 1993, selain mengetuai Barcelona menjuarai Copa del Rey.
“Pada pandangan saya, Ballon d’Or kali ini harus diberi kepada Kante atau Jorginho.
“Saya sudah muak ia sering diserahkan kepada Messi,” kata bekas pemain pertahanan itu.
Selain Messi, yang menyertai Paris Saint-Germain musim ini, penyerang Bayern Munich dan Poland, Robert Lewandowski turut menjadi pilihan.
Pemain tengah Sepanyol dan Barcelona, Alexia Putellas pula menjadi pilihan utama untuk dinobat sebagai pemenang Ballon d’Or Feminin bagi pemain wanita terbaik selepas turut memenanginya tahun lalu. – AGENSI