MADRID: Gerard Pique menegaskan, tiada pasukan pilihan pada pertembungan El Clasico Barcelona dan Real Madrid hari ini kerana kedua-dua pasukan dalam proses pemulihan selepas bermula hambar musim ini.
Pertemuan dua gergasi bola sepak Sepanyol itu sering menjadi tumpuan selama ini, namun kali ini situasi agak berbeza kerana kedua-duanya tidak lagi digeruni ekoran kemerosotan prestasi yang dialami.
Barcelona yang hilang Lionel Messi dan Antoine Griezmann kini menghuni tangga ketujuh La Liga dengan 15 mata daripada lapan perlawanan, lima mata di belakang pendahulu, Real Sociedad.
Real yang kalah 1-3 kepada Espanyol dalam perlawanan terakhir liga menduduki tempat ketiga dengan 17 mata.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun mencatat kemenangan dalam aksi terakhir Eropah. Barcelona mengalahkan Dynamo Kiev 1-0, Khamis lalu sehari selepas Real membelasah Shakhtar Donetsk 5-0.
“Dalam El Clasico, peluang seimbang, tiada pasukan dianggap pilihan.
“Kami pernah berada dalam krisis, namun semakin memulih. Real juga berdepan situasi hampir sama,” kata pertahanan tengah Barcelona itu.
Kekalahan 1-2 kepada kelab kerdil Moldova, Sheriff Tiraspol di laman sendiri dalam Liga Juara-Juara bulan lalu adalah kemuncak kemerosotan Real.
Real menang lima daripada tujuh aksi terakhir La Liga tetapi kekalahan kepada Espanyol minggu lalu menimbulkan keresahan. – AGENSI