PETALING JAYA: Selepas hampir setahun berehat dan ‘bermain’ dengan sawit, bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi mengesahkan bakal kembali ke litar lumba beraksi dalam Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2021.
Khairul atau terkenal dengan julukan SuperKIP berkata, perasaan rindu terhadap paddock mendorongnya untuk menerima tawaran TKKR Racing Team dan berlumba dalam kelas 600cc MSBK yang akan bermula hujung minggu ini.
SuperKIP yang pernah menggegarkan arena perlumbaan tanah air apabila menjuarai dua perlumbaan dalam kelas Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia pada 2016, bagaimanapun mengakui agak kekok untuk berlumba.
“Saya sangat merindui untuk kembali berlumba kerana itu adalah impian saya sejak kecil lagi. Selepas mendapat tawaran daripada pasukan TKKR saya terus menerimanya.
“Selepas menempuh dua tahun mencabar dalam kejuaraan dunia, saya akui ambil masa agak lama untuk kembali berlumba dan mencari ketenangan bersama keluarga.
“Selama ini, bekerja dengan ayah saya…angkat sawit…kerja sendiri.
“Apa pun, bagi saya ini adalah masa terbaik untuk berlumba kembali. Saya akan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Rabu ini dan akan cuba membiasakan diri dengan motosikal sebab saya dah lama tak menunggang sebenarnya.
“Untuk perlumbaan minggu ini saya tak letak sebarang sasaran, saya hanya mahu menikmati tunggangan dan perlumbaan, itu sahaja dahulu,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya, semalam.
Mengulas lanjut, pelumba berusia 23 tahun itu tidak menolak untuk bersaing secara rasmi dalam perlumbaan jika mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan.
“Jika diberi tawaran mana-mana pasukan saya akan menerimanya. Tidak kira mana-mana perlumbaan sekali pun seperti Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), MSBK mahupun Kejuaraan FIM CEV Eropah, saya mahu bersaing,” ujarnya.