PETALING JAYA: Semua pasukan memilih untuk menjual tiket secara dalam talian, selain memberi keutamaan kepada pemegang pas bermusim apabila stadium kembali dibuka kepada penonton pada kempen Piala Malaysia yang bersambung esok.
Melaka United, Sabah, Petaling Jaya City, Kuala Lumpur City, Sri Pahang, Selangor dan Perak FC antara pasukan terawal yang bakal menyambut kehadiran ribuan pemain ke ‘12’ buat kali pertama sejak enam bulan.
Stadium yang kembali gamat pasti menaikkan semula semangat pemain, malah memeriahkan sambutan 100 tahun Piala Malaysia, namun dalam keghairahan untuk menyokong pasukan kesayangan masing-masing peminat diingatkan agar menjaga disiplin dan tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Hanya penyokong yang sudah lengkap vaksinasi, tidak bergejala dan berumur 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk.
“Individu berumur 60 tahun ke atas tidak digalakkan ke stadium. Penyokong perlu mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan KKM (Kementerian Kesihatan).
“Penyokong perlu membaca, memahami dan bersetuju untuk menerima serta mematuhi terma dan syarat, SOP kemasukan,” kata Selangor FC yang menjual 4,500 tiket secara dalam talian.
Ingin kembali hadir ke stadium pada hari Sabtu ini?
Ini adalah 4️⃣ perkara yang WAJIB anda tahu.
Tiket perlawanan hanya dijual secara dalam talian (ONLINE) di https://t.co/hK7AiqjUkR atau layari laman sesawang kami, https://t.co/DIuHO8ZSAF.
RT untuk sebarkan! #KitaAdalahSatu pic.twitter.com/tRXdspVoYH
— Selangor FC (@selangorfc) October 26, 2021
Selangor akan menerima kunjungan Kuching City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu ini.
“Mohler kome, kita turun ke stadium dan sorak beramei-ramei menyokong pasukan Perak Sabtu ini!
“Sudah boleh ke stadium bukan bermaksud anda bebas tanpa perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM. Sila patuhi SOP semasa berada di stadium,” tulis Perak FC yang akan menerima kunjungan Terengganu FC pada Sabtu.
“Dalam kita teruja untuk meneruskan kehidupan harian seperti biasa, jangan lupa untuk terus sentiasa menjaga kesihatan agar penularan Covid-19 dapat dihentikan,” tulis Sabah FC yang bakal berdepan ujian getir Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Kumpulan D di Stadium Likas esok.