PETALING JAYA: Pemain muda negara beraksi di Ulaanbaatar, Mongolia bukan sekadar untuk mencari tiket ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 (B-23) tahun depan, malah memburu tempat dalam skuad senior ke Piala AFF di Singapura, Disember ini.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak menolak untuk memanggil lebih ramai ‘ubi muda’ bagi memperkuatkan cabaran Piala AFF yang akan berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari.
Beliau akan memantau perkembangan semua pemain negara yang sedang beraksi dalam kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar ketika ini.
“Kita akan pantau pemain-pemain skuad B-22, selain empat pemain yang dipanggil bersama pasukan senior sebelum ini. Lagi ramai pemain lagi bagus untuk masa depan negara.
“Kalau lagi banyak pemain muda menonjol dan menunjukkan aksi terbaik ia akan membawa kebaikan kepada pasukan negara, jika tidak dipanggil pada AFF nanti mungkin pada masa akan datang.
“Kita sentiasa memantau perkembangan pemain dan harap mereka yang dipanggil sebelum ini atau tidak bersama pasukan (pada awal Oktober) menunjukkan prestasi terbaik serta bebas kecederaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Quentin Cheng dan Hakimi Abdullah berjaya mempamer aksi ‘memuaskan’ ketika bersama Harimau Malaya pada dua aksi persahabatan di Jordan awal bulan lalu.
Kata Cheng Hoe, ‘pintu’ untuk pemain Liga Malaysia menyertai skuad Harimau Malaya juga sentiasa terbuka jika mereka mempamer aksi cemerlang.
“Senarai akhir Harimau Malaya belum dimuktamatkan kerana Piala Malaysia akan bersambung dan dara situ kita akan kenal pasti prestasi mereka yang mampu kuatkan pasukan.
“Macam saya cakap sebelum ini, jika ada pemain yang beraksi hingga ke final Piala Malaysia, tentu akan keletihan kerana mengharungi aksi intensiti tinggi dalam masa sebulan.
“Selain itu, perkara paling membimbangkan kita juga adalah kecederaan, jadi dengan adanya lebih banyak pilihan pemain, ia akan memberi manfaat kepada pasukan negara,” ujarnya.