LONDON: Thomas Tuchel menikmati perlawanan paling ‘tenang’ dalam kariernya apabila Chelsea melakar kemenangan terbesar sejak dibimbing jurulatih dari Jerman itu dengan membelasah Norwich City 7-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Norwich City sebentar tadi.
Cabaran tidak pernah mudah buat Norwich setiap kali bertandang ke Stamford Bridge, namun mereka tidak menduga akan pulang bersama keputusan paling buruk, terutama selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Ben Gibson dibuang padang pada minit ke-65.
Mason Mount meledak hatrik pada minit kelapan, 85 (penalti) dan 91, manakala empat lagi jaringan Blues dihasilkan oleh Callum Hudson-Odoi, Reece James dan Ben Chilwell, selain jaringan sendiri Max Aarons.
Beraksi tanpa dua bintang penyerang, Romelu Lukaku dan Timo Werner yang terlepas beberapa perlawanan akibat kecederaan tidak memberi masalah buat Chelsea untuk meneruskan rentak kemenangan, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga.
Selepas sembilan perlawanan, Chelsea kini memimpin liga dengan 22 mata, empat mata mengatasi Liverpool yang akan bertemu Manchester United esok.