NEWCASTLE: Dua jaringan Reece James memastikan Chelsea mengukuhkan cengkaman pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas membenam Newcastle 3-0 di Stadium St. James’ Park, sebentar tadi.
Selepas babak pertama berlangsung tanpa jaringan biarpun dikuasai oleh Blues, pasukan pelawat tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung.
James melakukan rembatan kaki kiri yang cantik untuk meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-65.
Bek kanan England mempamer satu lagi persembahan hebat, kali ini menggunakan kaki kanannya untuk menggandakan kedudukan 2-0 di minit ke-77.
Blues yang menguasai permainan sepenuhnya menambah derita The Magpies apabila Jorginho melengkapkan kemenangan 3-0 menerusi sepakan penalti.
Kemenangan itu membolehkan Chelsea mendahului liga dengan kelebihan tiga mata ke atas Liverpool.
Newcastle yang baru dimiliki konsortium kaya dari Arab Saudi jatuh ke tangga kedua tercorot. – AGENSI