PETALING JAYA: Legenda bola sepak negara, Khalid Ali percaya, sekarang bukan masa untuk pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe melakukan eksperimen dengan beberapa muka baharu.
Katanya, ketika skuad kebangsaan sedang membuat persiapan menjelang pusingan ketiga kelayakan Piala Asia, Januari tahun depan, tonggak utama harus diberi pendedahan tertinggi secara maksimum.
Ramai beranggapan pemilihan pemain kali ini lebih kepada pilihan netizen selepas Cheng Hoe tidak menyenaraikan ramai bintang Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Ketika menentang Jordan, kita hanya guna seorang naturalisasi sedangkan kita ada beberapa pemain lagi, selain ada pemain tempatan yang belum bersedia beraksi di pentas antarabangsa.
“Bagi saya Cheng Hoe dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mesti membuat keputusan sendiri mengenai pemilihan pemain, dan tidak dipengaruhi komen dalam media sosial.
“Kita sepatutnya membina kekuatan pasukan bukan bermula dari awal dengan membuat eksperimen. Jangan perjudikan pasukan kebangsaan, pilih pemain yang betul-betul layak bermain,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kata Khalid, kemungkinan Cheng Hoe sendiri tidak tahu bagaimana hendak membentuk pasukan dan memanfaatkan kelebihan yang dimiliki pemain pasukan kebangsaan.
“Saya rasa Cheng Hoe tidak tahu bagaimana menggunakan pemain di posisi yang sesuai dan menggabungkannya.
“Sebagai contoh, ketika kami bermain di bawah (bekas jurulatih kebangsaan) Karl Heinz Weigang (pada 1980-an), dia mengenali setiap pemain dan membina kekuatan pemain tersebut.
“Contohnya, James Wong… Dia tidak dapat turun hingga garisan tengah sebab akan penat untuk kembali di posisi menyerang.
“James perlu berada di posisinya untuk menerima bola, jadi terserah kepada saya dan Hassan Sani bermain naik dan turun kerana jika James letih sukar untuknya beraksi di tahap sebenarnya,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai alasan keletihan digunakan beberapa pemain yang menolak untuk beraksi buat Harimau Malaya di Jordan, Khalid menyifatkan sikap sebegitu sangat memalukan.
“Ada juga dengar tentang perkara itu, beberapa pemain mengadu terlalu letih dan tidak boleh beraksi.
“Perkara ini, saya tidak menyalahkan Cheng Hoe tetapi pesanan untuk pemain ini, ia adalah sesuatu yang sangat memalukan apabila anda menolak untuk mewakili negara,” tegasnya.