LONDON: Ole Gunnar Solskjaer selamat seketika daripada dipecat, berterima kasih kepada campur tangan bintang senior Manchester United.
Jurulatih kelahiran Norway itu bagaimanapun hanya kekal untuk tempoh ‘pinjaman’, dan ahli lembaga pengarah United sudah menambah satu lagi calon bagi menggantikannya ekoran kekalahan memalukan 5-0 kepada musuh ketat, Liverpool di Old Trafford, Ahad lalu.
Majoriti ahli lembaga menyokong United mendapatkan pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino sebagai pengendali baharu Red Devils.
Menurut Daily Mail, Solskjaer kekal buat sementara waktu kerana jurulatih itu masih popular dalam kalangan pemain, biarpun gagal meraih keputusan baik kebelakangan ini.
Pengurusan tertinggi kelab akan menggunakan pendekatan sama seperti ketika mengendalikan situasi David Moyes pada 2013 dan Jose Mourinho (2018).
Mereka akan membenarkan Solskjaer memimpin beberapa perlawanan sebelum mencapai kata sepakat dengan pengurus baharu.
Masalah utama pemilik kelab, Glazers ketika ini, mereka tidak mempunyai calon hebat yang bersedia dibawa masuk pada bila-bila masa.
Kebanyakan calon ‘dambaan’ terikat dengan pasukan lain dan memerlukan kelab berbelanja besar untuk mendapatkan mereka.
Menjadikan keadaan bertambah buruk, mereka juga perlu membayar pampasan jika memecat Solskjaer yang baru beberapa bulan diberi kontrak 20 juta pound (RM114 juta).
Sudahpun membayar hampir 140 juta pound (RM800 juta) ketika menandatangani Cristiano Ronaldo, Raphael Varane dan Jadon Sancho, Red Devils amat berhati-hati dalam berbelanja.
Pochettino, 49, yang melatih Tottenham dari 2014 hingga 2019 adalah calon pengurus terbaharu dalam senarai Red Devils selepas Antonio Conte, Zinedine Zidane, Brendan Rodgers dan Ajax, Erik Ten Hag. – AGENSI