PARIS: Bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) menguasai senarai pendek 30 calon anugerah Ballon d’Or yang menyaksikan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sekali lagi tersenarai.
Dalam senarai yang didedahkan oleh majalah France Football itu, Kylian Mbappe, Neymar, Karim Benzema, Jorginho dan N’Golo Kante turut tercalon.
Selepas tidak diadakan tahun lalu akibat pandemik Covid-19, Messi menjadi pemenang terakhir pada 2019, iaitu trofi keenamnya setelah mengenepikan Virgil van Dijk dan Ronaldo.
Turut kelompok terbaik dunia itu adalah penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski yang mendahului senarai penjaring Eropah dengan Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland.
Mohamed Salah menjadi wakil tunggal Liverpool dalam senarai 30 pemain yang menampilkan 14 bintang EPL.
Naib juara Euro 2020, England diwakili Harry Kane, Mason Mount, Phil Foden dan Raheem Sterling.
20 pemain wanita turut disenaraikan dalam acara yang akan diadakan di Paris pada 29 November nanti. – AFP