Berapa kali Ronaldo perlu balas kritikan? - Utusan Malaysia

Berapa kali Ronaldo perlu balas kritikan?

CRISTIANO RONALDO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Biarpun tandukan Cristiano Ronaldo kali ini tidak sebagus ketika membantu Manchester United menewaskan Roma pada suku akhir Liga Juara-Juara 2008, namun Ole Gunnar Solskjaer percaya, gol bintang Portugal itu cukup untuk membalas kritikan.

Semalam, United bangkit daripada ketinggalan 0-2 di Old Trafford, dan jaringan Ronaldo pada minit ke-81 membolehkan Red Devils menang 3-2 ke atas Atalanta dalam aksi Kumpulan F.

Ini kali kedua berturut-turut pemenang Ballon d’Or lima kali itu muncul penyelamat United.

Dia turut meledak gol kemenangan pada waktu kecederaan ketika mereka mengalahkan Villarreal 2-1 dalam saingan elit Eropah itu bulan lalu.

“Kalau ada sesiapa yang mahu mengecam kualiti kerja atau sikapnya, tonton perlawanan ini. Lihat bagaimana dia berlari dan amat hebat di depan gawang.

“Saya amat gembira melihat bagaimana dia memimpin serangan. Kami me­mintanya memberi lebih ba­nyak tekanan. Kami bermain di tempat sendiri, jadi kami mahu penyokong sentiasa di belakang.

“Dia melakukan segala-gala­nya yang patut dilakukan seorang penyerang tengah. Me­mimpin serangan dan membantu pertahanan,” kata Solskjaer.

RONALDO meraikan gol kemenangan Manchester United.

Biarpun memuji prestasi Ro­naldo, namun Solskjaer percaya, jaringannya kali ini tidak sebagus ketika menentang Roma, 13 tahun lalu.

“Tidak ia sama dengan kualiti ketika bertemu Roma, tapi dia masih ada sentuhan,” katanya.

Sementara itu, bek tengah United, Harry Maguire kecewa dengan cara Red Devils bertahan, namun memuji impak yang diberikan Ronaldo.

United meletakkan diri dalam masalah selepas membenarkan Mario Pasalic dan Merih Demiral membolosi gawang mereka di minit ke-15 serta 28.

Kemasukan Paul Pogba, Edinson Cavani serta Jadon Sancho merubah permainan tuan rumah di babak kedua dan Marcus Rashford merapatkan jurang pada minit ke-53 sebelum ­Maguire menyamakan kedudukan menerusi voli, minit ke-75.

Ketika permainan berbaki sembilan minit, Ronaldo menanduk hantaran Luke Shaw ke penjuru gawang untuk mengesahkan tiga mata buat United.

“Kami suka menempuh jalan berliku. Pada babak pertama, kami melepaskan dua gol mudah menerusi sepakan percuma pantas dan situasi bola mati yang tidak sepatutnya.

“Ia tidak cukup baik untuk kelab ini. Kami sedang mencari formula untuk lebih mantap di benteng,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya