PETALING JAYA: Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei memberi tentangan sengit kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen sebelum disingkirkan beregu No. 11 dunia itu dalam separuh akhir badminton Terbuka Denmark di Odense, sebentar tadi.
Selepas kalah mudah 11-21 di set pembukaan, pasangan muda negara itu bangkit dengan prestasi lebih meyakinkan di set kedua apabila menang 21-19.
Memasuki set penentuan, kedua-dua beregu saling mengejar mata dan bertarung sengit, namun Astrup-Rasmussen menamatkan saingan sebagai pemenang 21-18.
Kekalahan itu menyaksikan Izzuddin-Sze Fei masih gagal menewaskan beregu Denmark tersebut dalam empat pertemuan mereka sejak 2017.
Kandasnya beregu No. 26 dunia itu juga bermakna berakhir sudah cabaran Malaysia dalam kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan AS$850,000 (RM3.52 juta).