MILAN: Keputusan Didier Deschamps memanggil Karim Benzema dalam skuad kebangsaan nyata tepat apabila penyerang yang pernah ‘disisihkan’ itu memainkan peranan besar membantu Perancis merangkul kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA.
Benzema meledak gol penyamaan Perancis pada minit ke-66 ketika menang 2-1 ke atas Sepanyol di Stadium San Siro, awal pagi tadi.
Kylian Mbappe menjaringkan gol kemenangan 10 minit sebelum tamat perlawanan untuk membantu juara dunia itu menjulang trofi.
Sepanyol sebelum itu mendahului 1-0 menerusi jaringan Mikel Oyarzabal pada minit ke-64.
“Karim pemain yang penting dan membuktikan dalam dua kejohanan bahawa dia memiliki bakat hebat.
“Dia menunjukkan banyak peningkatan dalam semua aspek, malah lebih klinikal ketika mencipta peluang,” kata Deschamps.
Benzema, 33, tidak dipanggil dalam pasukan Les Bleus sejak 2015 kerana skandal peras ugut rakan sepasukan sebelum kembali memperkuatkan Perancis dalam Euro 2020, Jun lalu. – AGENSI