BERLIN: Bayern Munich mengalami kekalahan terburuk dalam Piala Jerman selepas pasukan yang memiliki deretan bintang itu dibelasah 5-0 oleh Borussia Moenchengladbach, awal pagi tadi.
Menurunkan barisan terkuat Bayern tampak kepenatan dan melepaskan gol pertama seawal 71 saat, malah ketinggalan 0-3 dalam tempoh 21 minit.
“Sangat mengejutkan! Kami seolah-olah tidak berada di sana.
“Kami tidak memenangi perebutan bola pada babak pertama, kami membiarkan lawan menguasai setiap situasi, ia kegagalan kolektif,” kata Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic kepada ARD.
Ia kali pertama sepanjang 27 tahun Bayern melepaskan gol awal yang banyak dalam mana-mana pertandingan.
Kekalahan terbesar mereka dalam Piala Jerman sebelum ini adalah tewas 1-5 kepada Cologne pada suku akhir 1972.
“Ini persembahan yang menakjubkan.
“Anda memang sering mengimpikan sesuatu seperti ini tetapi bagaikan tidak percaya ia boleh menjadi realiti,” kata Pengarah Sukan Gladbach, Max Eberl. – AGENSI