BARCELONA: Barcelona memecat pengurus pasukan, Ronald Koeman ekoran kekalahan 1-0 kepada Rayo Vallecano dalam saingan La Liga, awal pagi tadi.
Ini kekalahan ketiga mereka daripada empat perlawanan terakhir, sekali gus meletakkan gergasi Catalan itu di tangga kesembilan liga.
Barca hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir liga di bawah jurulatih dari Belanda itu, malah turut tumpas dalam aksi El Clasico menentang Real Madrid di Camp Nou, Ahad lalu.
Persembahan buruk pada permulaan musim meningkatkan kemungkinan pasukan itu gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan seterusnya mendatangkan kesan besar terhadap situasi kewangan kelab yang sudah teruk.
Bekas pemain tengah Barcelona, Xavi Hernandez, yang kini mengetuai kelab Qatar, Al Sadd serta pengurus River Plate, Marcel Gallardo antara calon untuk mengambil alih tugas itu.
“FC Barcelona memecat Ronald Koeman daripada jawatan jurulatih pasukan utama malam ini.
“Presiden kelab, Joan Laporta sudah memberitahunya selepas kekalahan kepada Rayo Vallecano. Ronald Koeman akan mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Khamis ini di Ciudad Deportiva.
“FC Barcelona mengucapkan terima kasih atas perkhidmatannya dan selamat maju jaya dalam kariernya,” tulis Barcelona dalam satu kenyataan. – AFP