LONDON: Dua pelumba sensasi Formula Satu (F1), Lewis Hamilton dan Max Verstappen dijangka mengulangi insiden perlanggaran lagi sehinggalah pertarungan merebut gelaran musim ini berakhir.
Ketua Persatuan Pemandu Grand Prix, Alex Wurz percaya, Hamilton dan Verstappen saling menghormati satu sama lain.
Bagaimanapun jelasnya, kedua-dua perlumba memiliki ego yang tinggi selepas Verstappen hanya memegang kelebihan lima mata di depan Hamilton yang berada di tangga kedua di kedudukan keseluruhan pemandu dunia.
“Inilah sukan, jika anda menonton tinju, bola sepak, bola baling atau apa jua acara sekali pun, apabila dua yang terhebat bertembung, ia (drama) pasti akan berlaku.
“Jadi, sejujurnya saya fikir, mereka pasti akan berlanggar lagi,” kata Wurz kepada Sky Sports.
Pada 12 September lalu, mereka terbabit dalam kemalangan di Grand Prix Itali selepas pelumba Red Bull, Verstappen cuba memintas Hamilton di selekoh di Litar Monza.
Verstappen yang dikenakan penalti tiga petak mendakwa pemandu Mercedes itu tidak memberi ruang ketika dia berada di selekoh.
Juara dunia tujuh kali, Hamilton bagaimanapun terlepas daripada sebarang hukuman. – AGENSI