Usyk lebur penguasaan Joshua, rampas gelaran heavyweight dunia - Utusan Malaysia

Usyk lebur penguasaan Joshua, rampas gelaran heavyweight dunia

PETINJU Ukraine, Oleksandr Usyk (kiri) bertarung dengan Anthony Joshua dalam pertarungan heavyweight dunia di Stadium Tottenham Hotspur, London awal pagi tadi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Oleksandr Usyk menamatkan penguasaan Anthony Joshua sebagai juara heavyweight dunia selepas menumpaskan petinju Britain itu dalam pertarungan 12 pusingan di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.

Biarpun mendapat sokongan padu daripada lebih 66,000 penonton tuan rumah, Joshua, 31, terpaksa akur dengan kekalahan 112-117, 112-116 dan 113-115 di tangan jaguh veteran Ukraine, Usyk, 34.

Usyk kini berjaya mengekalkan rekod sempurna sebagai petinju profesional dengan melakar 19 kemenangan daripada 19 pertarungan, sekali gus menjadikannya petinju ketiga selepas Evander Holyfield (Amerika Syarikat) dan David Haye (Britain) memenangi gelaran dunia cruiserweight dan heavyweight serentak.

Oleksandr Usyk muncul juara heavyweight dunia selepas menewaskan Anthony Joshua.

Peminat tinju Britain sebelum itu mengharapkan pertarungan sesama sendiri dua petinju mereka, Joshua dan Tyson Fury yang akan mempertahankan gelaran heavyweight Majlis Tinju Dunia (WBC) menentang Deontay Wilder di Las Vegas bulan depan.

Bagaimanapun Joshua akhirnya dipertemukan dengan Usyk, juara heavyweight Sukan Olimpik 2012 di London, temasya yang menyaksikan Joshua turut meraih emas dalam kelas super-heavyweight.

“Kemenangan ini amat bermakna dan pertarungan berjalan seperti dirancang. Ada masanya Anthony mengasak, namun secara keseluruhan saya fikir tiada apa yang istimewa tentang aksinya.

“Pada awalnya saya lebih agresif tetapi kemudian saya kembali kepada rancangan asal,” kata Usyk yang kini mengikut jejak adik-beradik Wladimjir dan Vitali Klitschko sebagai juara dunia heavyweight dari Ukraine. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya