ALOR SETAR: Tanpa beberapa pemain utama termasuk Kpah Sherman dan Rabih Ataya yang perlu berkidmat untuk skuad kebangsaan masing-masing, Kedah Darul Aman (KDA FC) terpaksa berhempas pulas untuk sekadar mencatat keputusan seri menentang UiTM FC di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Keputusan itu bagaimanapun sudah cukup untuk meletakkan mereka kembali di tangga kedua Liga Super selepas mengumpul 40 mata dengan kelebihan gol mengatasi Penang FC.
Ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar terlebih dulu membuka jaringan apabila menanduk hantaran silang pemain sayap, Azmauddin Akil pada minit ke-36.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila UiTM dihadiahkan sepakan penalti dua minit kemudian menerusi sepakan penalti disempurnakan Dennis Buschening.
Hanya seminit selepas babak kedua dimulakan, pasukan pelawat berada di depan apabila tongga pertahanan KDA FC, Renan Alves melakukan kesilapan dengan melakukan hantaran tidak tepat kepada rakan sepasukan, K. Anumanthan.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya seorang lagi pemain import UiTM FC, Yonghyun Kwon untuk menyambar bola lalu melepaskan rembatan ke gawan KDA FC menewaskan penjaga gol, Shahril Saari.
Gawang Kedah bocor sekali lagi pada minit ke-63 apabila tendangan ‘back heel’ Ariff Ar-Rashid gagal diselamatkan Shahril Saari.
Pemain gantian Kedah, Muhamad Fikhrie serta tonggak import dari Ivory Coast, Kipre Tchetche bagaimanapun menyelamatkan maruah tuan rumah apabila masing-masing menjarinkan gol pada minit ke-72 dan 80 untuk keputusan muktamad 3-3.