PETALING JAYA: Tidak terkesan dengan insiden yang menimpa rakan baiknya, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly sebaliknya bersedia mempertahankan pingat emas lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) lelaki pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.
Atlet kelahiran Perlis itu dijangka tidak berdepan masalah untuk memenangi emas jika mampu mengulangi lompatan terbaiknya, 7.64 meter (m) yang juga rekod dunia yang dilakukan dalam Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.
Begitupun, atlet Belanda, Ranki Oberoi mampu menjadi ancaman terbesar Latif selepas menewaskan jaguh negara itu pada pertandingan terakhir yang disertai mereka dalam Kejohanan Para Dunia di Dubai 2019.
Latif, 24, ketika itu meraih perak dengan 7.24m, manakala Oberoi membawa pulang emas menerusi lompatan 7.39m.
Bagaimanapun dalam kejohanan simulasi sebelum terbang ke Tokyo, Latif berjaya melakukan jarak lompatan lebih baik, 7.68m.
“Saya tak ada rasa tekanan sebab saya datang sini untuk memburu emas. Saya ada sasaran sendiri. Kita kena ada keyakinan untuk mendapatkan apa yang kita inginkan.
“Jadi sekarang ini saya sudah bersedia untuk berikan yang terbaik biarpun ada rasa sedikit berdebar cuma perkara itu masih boleh dikawal.
“Pencapaian terbesar seorang juara bukanlah kerana pingat atau garis penamat, tetapi semangat untuk terus berjuang untuk menang. Saya bersedia untuk Sukan
Paralimpik Tokyo 2020,” kata Latif yang turun dengan misi memburu emas dan memecah rekod dunia.
Jurulatih lompat jauh para kebangsaan, Shahrul Amri Suhaimi berkata, Latif berada dalam keadaan cukup bersedia dan fokus.