ALOR SETAR: Tunggakan cukai gandingan Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi adalah yang tertinggi daripada keseluruhan RM10.4 juta dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Menurut Presidennya, Muhammad Sanusi Md. Nor, tunggakan cukai Sandro berjumlah RM2.3 juta, manakala Liridon pula RM1.78 juta.
Katanya, pengurusan KFA terdahulu didapati memotong gaji pemain serta jurulatih terlibat, namun gagal melunaskan bayaran cukai kepada LHDN.
“Selain Sandro dan Liridon, tunggakan cukai tertinggi turut melibatkan Bang Seung Hwan RM935,000, Ken Ilso Larson (RM470,000), Chidi Edeh (RM434,000) dan Carlos Kahe (RM346,000)
“Tuntutan tunggakan cukai itu turut melibatkan barisan jurulatih import antaranya Ian Gillan dan Stefano Impagliazzo,” katanya selepas berakhir Sidang DUN Kedah di sini semalam.
Terdahulu ketika membuat penggulungan di Sidang DUN tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad mendedahkan KFA berdepan tuntutan cukai lebih RM10 juta setelah LHDN melakukan semakan semula.
Menurut Mohd. Firdaus, berbanding tuntutan untuk tempoh 2016 hingga 2019 dikemukakan LHDN yang berjumlah RM3.4 juta sebelum ini, badan berkanun itu kemudian menghantar satu lagi notis tuntutan selepas melakukan semakan semula yang mengambil kira dari 2014 hingga 2019 bernilai lebih RM10 juta.
Muhammad Sanusi menambah, LHDN sepatutnya membuat tuntutan pada tahun sama.
“Sepatutnya kalau ada tunggakan pada 2018 atau 2017, tuntutlah pada tahun itu juga tetapi mereka kata pada masa itu pengurusan KFA lama tidak memberi kerjasama.
“Sekarang bila pengurusan baharu beri kerjasama, maka mereka datang longgok semua atas ‘kepala’ kita. Kalau macam itu, teruklah kita kerana KFA bukan badan membuat keuntungan sebaliknya bergerak memajukan sukan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat,” katanya.
Katanya, perbincangan akan terus dibuat bersama LHDN supaya tunggakan itu dihapus kira berikutan kegagalan badan berkanun tersebut membuat kutipan pada tahun sepatutnya.
“Tunggakan ini berlaku pada masa lalu, tak bolehlah kutip sekarang. Justeru saya berunding dengan LHDN untuk memohon hapus kira di atas kegagalan mereka membuat kutipan pada masa lalu,” katanya.