KOTA BHARU: Kelantan FC tidak mahu sekadar menjadi pelengkap dalam kempen Piala Malaysia, sebaliknya bersedia memberi cabaran sengit.
Pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman mahu pasukan Liga Perdana itu memperagakan aksi terbaik dan memberi tentangan sengit kepada setiap pasukan yang bakal ditentang.
“Dalam saingan tahun ini, saya menyasarkan untuk layak ke suku akhir walaupun bakal berdepan pasukan kuat pada aksi itu nanti.
“Bola sepak…sifirnya agak berbeza. Kadang-kadang bila lawan pasukan yang kuat pemain akan beraksi luar biasa.
“Berpandukan kepada aksi yang diperagakan semasa menang dengan Selangor FC II, tidak mustahil kita mampu memberi saingan kepada pasukan lain,” katanya.
Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham secara keseluruhan berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan Kelantan FC sepanjang saingan Liga Perdana musim ini.
Katanya, sebagai pemilik baharu kedudukan keenam dalam liga sudah memadai selepas menyasarkan tangga kelima.
“Pasukan saya ini tidak menggunakan bajet besar tapi menunjukkan prestasi baik.
“Jadi saya berpuas hati dengan apa yang diperoleh dan kebanyakkan kita gunakan pemain-pemain muda,” ujarnya.