LONDON: Tottenham berdepan krisis kecederaan menjelang pertemuan dengan Chelsea pada aksi Liga Perdana hari ini selepas kehilangan penyerang, Steven Bergwijn dan Lucas Moura dalam Liga Konferensi Europa kelmarin.
Kecederaan yang dialami Bergwijn dan Moura ketika seri 2-2 dengan Rennes disifatkan pengurus Spurs, Nuno Espirito Santo sebagai ‘malang yang dahsyat’.
Bergwijn yang terlepas perlawanan terakhir liga ketika Tottenham tewas 0-3 kepada Crystal Palace pada 11 September lalu cedera pergelangan kaki.
Lucas pula dikeluarkan pada babak kedua akibat masalah lutut.
Seorang lagi peledak berbisa, Heung-min Son tidak pasti dapat diturunkan akibat ketegangan betis ketika menggalas cabaran Korea Selatan dalam kelayakan Piala Dunia 2022.
Bek kanan England, Eric Dier juga tidak cergas setelah mengalami kecederaan ketika bertemu Palace.
Tonggak pertahanan, Japhet Tanganga pula tidak dapat beraksi akibat penggantungan dan Ryan Sessegnon terlepas perlawanan kerana masalah hamstring.
Tiga pemain dari Amerika Selatan, Davinson Sanchez, Cristian Romero serta Giovani Lo Celso hanya pulang ke England semalam.
Ketiga-tiga mereka berlatih di Croatia selama 10 hari bagi mengelak dikuarantin lama di United Kingdom (UK) dan tidak dapat dipastikan apakah bakal terlibat dalam perlawanan menentang Blues.
Tottenham bertemu Rennes dengan melakukan beberapa pertukaran dari benteng hingga serangan.
The boss confirms the status of Kante, compares Lukaku and Kane and much more. ⤵️#TOTCHE up next! ?
— Chelsea FC (@ChelseaFC) September 17, 2021
Emerson Royal, Dane Scarlett dan Bryan Gil semua diturunkan, manakala Harry Kane dikeluarkan awal bagi memastikan dia cergas untuk bertemu Chelsea.
“Sejujurnya, setuasi kami sangat mengerikan. Saya tidak mahu menyembunyikan apa-apa, namun ketika ini semua tidak begitu baik. Inilah bola sepak,” kata Nuno.
Sudahlah dibelenggu kecederaan, Spurs juga belum dapat melihat prestasi terbaik daripada Kane berbanding Chelsea, yang lega Romelu Lukaku semakin serasi.
Ketika Lukaku membuat pilihan tepat untuk kembali ke Stamford Bridge, Kane sebaliknya menyesali kegagalan berpindah ke Manchester City.
Setakat ini Lukaku sudah meledak tiga gol dalam saingan Liga Perdana dan satu pada aksi Liga Juara-Juara.
Kane belum menemui sentuhan dalam liga dan gagal menjaringkan sebarang gol, dia bagaimanapun mencetak dua jaringan pada aksi Liga Konferansi Europa menentang kelab kerdil Portugal, Pacos Ferreira. – AGENSI