KOTA BHARU: Pemain Kelantan FC diingatkan supaya tidak memberikan terlalu banyak ruang kepada penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Fernando Rodriguez pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV petang ini.
Penolong Jurulatih The Red Warriors (TRW), Rezal Zambery Yahya menyifatkan kelibat penyerang kelahiran Sepanyol itu mampu menjadi watak pemusnah jika diberikan terlalu banyak ruang untuk bergerak.
Katanya, barisan pertahanan TRW perlu merantai pemain tersebut yang mampu menghidu peluang dengan menterjemahkannya dalam bentuk jaringan.
“Saya harap pemain (pertahanan) kekal fokus dengan tidak membuat kesilapan mudah. Bertemu JDT II bukan tugas mudah buat TRW kerana mereka adalah antara pasukan terkuat dalam siangan Liga Perdana musim ini.
“Walaupun kita menghormati status JDT sebagai pasukan pilihan, bagi saya peluang tetap seimbang buat TRW. Jadi kami akan turun bermati-matian untuk perlawanan itu nanti,” katanya.
Anak kelahiran Johor itu memberitahu, Kelantan FC akan melakukan rombakan kecil dibahagian serangan selepas penjaring terbanyak Nurshamil Ab. Ghani berdepan penggantungan satu perlawanan.
Katanya, barisan kejurulatihan sedang membentuk gandingan ampuh dibahagian serangan dalam usaha merobek gawang JDT II.