PETALING JAYA: Turun sebagai pasukan pilihan, Thailand nyata bukan tandingan Malaysia apabila menumpaskan skuad negara 4-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat, Palestin sebentar tadi.
Thailand yang memahat sejarah beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia 2019 dan 2015 nyata berada dalam kelas berbeza apabila menguasai perlawanan memaksa anak-anak buah Jacob Joseph berkampung di kawasan sendiri.
Hatrik Kanyanat Chetthabutr, termasuk jaringan pantasnya seawal minit pertama, selain gol Nutwadee Pram-nak pada minit ketiga menyerlahkan kelemahan ketara skuad wanita negara.
Turun sebagai pasukan ranking ke-39 dunia, Thailand langsung tidak memberi ruang buat Malaysia dengan mendahului 3-0.
Memasuki babak kedua, pasukan negara yang berkedudukan ke-92 dunia cuba memberi tentangan dan memperkemaskan permainan.
Penjaga gol negara, Azurin Mazlan juga menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan, namun jaringan ketiga Chetthabutr, dua minit memasuki waktu kecederaan melengkapkan kemenangan 4-0 Thailand.
Malaysia akan menentang tuan rumah, Palestin dalam aksi seterusnya di venue yang sama, Rabu ini.