KUALA NERUS: Terengganu meletakkan sasaran mara ke separuh akhir menjelang sepak mula Piala Malaysia, minggu depan.
Pengurus pasukan, Zulfadli Rozi berkata, sebagai pasukan keempat terbaik dalam Liga Super, Sang Penyu akan meneruskan rekod kecemerlangan berkenaan bagi menjulang trofi kejohanan tertua Asia itu.
“Kita faham harapan tinggi penyokong yang mahu melihat Terengganu menjulang Piala Malaysia seterusnya layak ke Piala AFC 2022, namun kita perlu bersikap realistik memandangkan pasukan lain juga dalam prestasi terbaik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Zulfadli berkata, walaupun rekod pertemuan dalam liga memihak kepada skuad Sang Penyu, tetapi pihaknya tidak memandang mudah tentangan daripada Selangor dan Perak yang memiliki reputasi cemerlang.
Katanya, besar kemungkinan satu lagi saingan adalah pasukan Liga Perdana, Kuching City yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim.
Bagaimanapun, menurutnya, ketua jurulatih, Nafuzi Zain memiliki banyak pilihan dalam membentuk kesebelasan utama terutama pemilihan pemain import.