PETALING JAYA: Sudah pun tersingkir ke Liga Perdana musim depan, pertemuan terakhir Liga Super menentang Sabah esok amat penting buat Perak untuk sekurang-kurangnya mengubat kecewa dengan meraih slot ke Piala Malaysia.
Pengendali Bos Gaurus, Shahril Nizam Khalil berkata, persaingan merebut slot ke kejohanan bola sepak tertua itu sengit kerana UiTM FC juga berpeluang untuk layak sekiranya menang ke atas Sri Pahang.
Selepas kalah dalam enam perlawanan terakhir, beliau mahu anak-anak buahnya menutup kempen dengan kemenangan, namun dalam masa sama tidak memandang rendah kemampuan Sabah meskipun mereka baru dibelasah 6-0 oleh Selangor, Ahad lalu
“Secara keseluruhan, pemain saya masih menunjukkan kesungguhan dalam latihan dan positif kerana kita dah tahu kedudukan pasukan macam mana, jadi sekurang-kurangnya satu mata sudah cukup untuk layak ke Piala Malaysia.
“Walaupun kita dah jatuh ke Liga Perdana tetapi aksi terakhir ini memang penting dan kita pun dah lama tak rasa kemenangan, jadi harapnya kita dapat raih tiga mata sebagai penutup liga musim ini.
“Saya ada melakukan sedikit rombakan di mana Nazmi Ahmad digantung sebab tiga kad kuning, Rafiuddin Rodin pula ada sedikit kecederaan. Kena tengok macam mana keadaan selepas ini, dan Azri Ghani pula sudah kembali dari kem latihan skuad bawah 20 tahun negara,” katanya.