PETALING JAYA: Malaysia mengambil tindakan berani dengan menghantar skuad mentah ke Piala Thomas, Piala Uber dan Piala Sudirman dalam usaha membentuk pasukan mantap di Olimpik Paris 2024.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, mereka perlu mengambil risiko kerana mahu pemain muda menimba pengalaman selain memantapkan diri untuk menjadi pencabar sebenar di Paris.
“Sebelum ini (Wong) Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan BAM) ada beritahu kami perlu amik risiko sekiranya ingin memiliki pasukan yang mantap.
“Kami serius untuk mendapatkan dua wakil dalam semua acara di Paris 2024 dan atas sebab itu kami perlu menjadikan kejohanan ini sebagai platform untuk pemain muda.
“Mengenai sasaran, kami menyasarkan suku akhir paling minima untuk ketiga-tiga kejohanan,” katanya semalam.
Daripada 11 pemain yang disenaraikan ke Piala Thomas, hanya Lee Zii Jia dan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempunyai pengalaman beraksi.
Bagi skuad Piala Uber, Lee Meng Yean bakal membuat penampilan ketiga, manakala S. Kisona dan Goh Jin Wei beraksi untuk kali kedua.
Dalam Piala Sudirman, hanya Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik berpengalaman, manakala yang lain akan membuat penampilan sulung.
Piala Sudirman berlangsung di Finland dari 26 September hingga 3 Oktober, manakala Piala Thomas dan Uber pada 9-17 Oktober ini di Denmark.
Mengulas cabaran Piala Thomas, Mohamad Norza percaya Malaysia masih berpeluang menjadi pencabar jika memiliki semangat juang yang tinggi seperti di Sukan Olimpik Tokyo.
“Macam Aaron dan Wooi Yik, mereka masih muda tetapi boleh mengejutkan pasangan No.1 dan 2 dunia semasa di Tokyo. Saya rasa tiada yang mustahil dalam saingan ini,” katanya.