TOKYO: ‘Silver Bullet’ Marcel Hug meletakkan dirinya antara atlet paralimpik terbaik sepanjang zaman apabila melengkapkan dominasi dalam kelas T54 dengan mempertahankan emas maraton Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam.
Hug, 35, memenangi kesemua empat acara yang disertai dalam saingan T54 lelaki di Tokyo iaitu 800, 1,500, dan 5,000 meter (m), selain maraton.
Dalam saingan maraton yang berlangsung pada hari penutup temasya, jaguh kerusi roda Switzerland itu mencatat masa 1 jam, 24 minit dan 2 saat, mengetepikan peserta China, Yong Zhang untuk perak, manakala Daniel Romanchuk dari Amerika Syarikat meraih gangsa.
“Saya tidak tahu apa yang saya rasa ketika ini, saya terlalu penat. Semua kosong.
“Saya berjaya! Saya tidak tahu bagaimana saya boleh melakukannya sekali lagi, ia luar biasa,” kata Hug yang mengumpul enam pingat emas dalam penampilan di Paralimpik.
Menurut Hug, akibat terlalu penat selepas beraksi dalam tiga acara, dia hanya berharap untuk memasuki stadium dan melengkapkan perlumbaan maraton.
“Ketika ini, saya benar-benar tidak tahu apa makna semua kejayaan yang dikecapi.
“Saya hanya mahu pulang ke rumah, berehat seketika dan lihat semula apa yang berlaku,” katanya.
Biarpun nama gelarannya Silver Bullet yang membawa maksud ‘Peluru Perak’, namun Hug tidak terfikir untuk menukarnya kepada ‘Golden Bullet’.
Hug mendapat julukan Silver Bullet kerana gemar menggunakan warna perak dari penutup cermin hingga topi keledar.
“Saya lebih suka perak. Saya suka warna perak di kepala dan leher,” katanya. – AGENSI