PETALING JAYA: Selepas membuat kemunculan sulung pada edisi lalu, silat bagaimanapun berdepan laluan ‘berduri’ untuk kembali dipertandingkan dalam Sukan Asia tahun depan di Hangzhou.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, ia selepas individu penting, Dr. Hoang Vinh Giang dari Vietnam meninggal dunia beberapa hari lalu.
Jelas Megat, ini kerana Vinh Giang, yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) disifatkan sebagai ‘jambatan’ dengan tuan rumah Sukan Asia 2022, China.
“Saya sedih dengan pemergiannya kerana beliau merupakan individu yang berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa masuk silat ke Sukan Asia tahun depan.
“Dia kawan lama saya. Dia adalah individu terpenting dalam mengembangkan silat di Vietnam.
“Vinh Giang memiliki hubungan yang sangat baik dengan jawatankuasa penganjur Hangzhou dan diibaratkan sebagai jambatan (penghubung) bagi kami (dengan China).
“Begitupun, kami masih berusaha memasukkan silat dengan bantuan badan kebangsaan China.
“Kami juga mungkin akan terbang ke China untuk bertemu dengan jawatankuasa penganjur,” katanya.