PETALING JAYA: Siapa jurulatih yang bakal memastikan penerjun negara mampu kembali menjadi penyumbang pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi tanda tanya selepas kontrak Christian Brooker dan Yang Zhuliang tidak disambung.
Semalam, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengesahkan kontrak kedua-dua jurulatih yang tamat pada hujung bulan ini tidak akan disambung, namun seorang lagi jurulatih dari China, Li Rui bernasib baik apabila kontraknya dilanjutkan sehingga 2023.
Prestasi buruk kontinjen Malaysia yang pulang tangan kosong di Sukan Olimpik Tokyo 2020 antara punca kontrak jurulatih dari Australia, Brooker yang dianggap seperti ‘bapa’ oleh beberapa penerjun negara tidak diteruskan.
Zhuliang pula hadir di Tokyo untuk tugas ‘khas’ membantu bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform individu.
Naib Presiden Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Datuk Nawawi Reduan mengakui, mereka cuba ‘menyelamatkan’ Brooker, namun keputusan buruk Olimpik 2020 menyebabkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam memutuskan kontraknya tidak disambung.
“Kita telah cuba sedaya upaya untuk mengekalkannya namun tidak berjaya susulan keputusan yang diperoleh sewaktu di Tokyo.
“Kontrak Zhuliang juga sama, akan berakhir hujung bulan ini, namun kita tidak membincangkannya. Keputusan akan diumum dalam tempoh terdekat.
“Saya harap jurulatih, persatuan, setiausaha dan naib presiden dapat bekerjasama memulihkan kembali sukan akuatik Malaysia,” katanya.
Malaysia buat pertama kali gagal membawa pulang pingat Olimpik sejak meraih pingat pada dua edisi terdahulu di London 2012 dan Rio 2016 Rio.
Difahamkan, MAS kini mengintai jurulatih dari China untuk menggalas misi ‘mengembalikan kehebatan terjun Malaysia’ tiga tahun menjelang temasya Paris.