SINGAPURA: Pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, Joseph Schooling bakal menyertai latihan ketenteraan selepas Kementerian Pertahanan Singapura memaklumkan perenang tersebut akan mengikuti perkhidmatan wajib itu selama dua tahun.
Schooling, 26 dan bekas perenang finalis Olimpik, Quah Zheng Wen, 24 akan menjalani khidmat negara selepas mereka memohon untuk melanjutkannya.
“Penangguhan mereka telah tamat pada 31 Ogos lalu. Kedua-duanya akan mengikuti khidmat negara seperti yang dipersetujui mereka sebelum ini.
“Mereka akan didaftarkan selepas beberapa perkara dapat diselesaikan,” kata Kementerian Pertahanan negara itu dalam satu kenyataan.
Perenang tersebut sepatutnya mengikuti khidmat negara pada 2014, namun perlu menangguhkannya bagi memberi laluan kepada beberapa kejohanan besar termasuk Rio 2016, diikuti Tokyo 2020.
Schooling berkata, dia sangat berterima kasih atas sokongan kerajaan selama ini dan sedia untuk menabur bakti kepada negaranya semula.
“Sebagai anak Singapura, saya rasa bangga dapat berkhidmat untuk negara. Lebih penting lagi, keluarga saya sangat memerlukan saya.
“Tiba masanya untuk saya memenuhi segala menjalankan tugas dan berbakti kepada mereka,” kata Schooling yang gagal mempertahankan emas Olimpik 100m kuak kupu-kupu apabila tersekat di peringkat saringan. – AGENSI