Salah mungkin ke PSG? - Utusan Malaysia

Salah mungkin ke PSG?

MOHAMED SALAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas bintang te­ngah Liverpool, Danny Murphy memberi bayangan Mohamed Salah mungkin berhijrah ke Pa­ris Saint-Germain (PSG) musim panas akan datang selepas me­nuntut gaji tinggi 500,000 pound (RM2.89 juta) seminggu untuk kekal di Anfield.

Masa depan pemain sayap itu menjadi tanda tanya selepas gagal mencapai kata putus bersama Reds untuk memperbaharui kontrak yang berbaki dua tahun, namun Jurgen Klopp berminat mengekalkannya.

Dalam masa sama, Liverpool juga merancang untuk mendapatkan bintang Borussia Dortmund dan sensasi England, Jude Bellingham dengan rekod perpindahan 80 juta pound (RM459 juta).
Bellingham yang baru berusia 18 tahun cemerlang di Bundesliga selepas menyertai Dortmund dari Birmingham, dan dia dijangka kembali ke England tahun hadapan.

Akhbar Britain, Daily Star mendakwa, Klopp berminat mendapatkannya dan mengenal pasti pemain itu sebagai pengganti terbaik kepada Georginio Wijnaldum yang menyertai PSG.

Salah, 29, antara penerima gaji tertinggi di Anfield dengan me­raih sekitar 200,000 pound (RM1.15 juta) seminggu dan pernah meraih anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris.

JUDE BELLINGHAM

Murphy percaya, PSG mampu memenuhi permintaannya dan melihat bintang Mesir itu sebagai calon terbaik untuk menggantikan Kylian Mbappe yang akan menjadi ejen bebas tahun hadapan.

“Salah bukan pemain yang akan membuat permintaan luar biasa. Saya sangat terkejut de­ngan perkara ini.

“Sekiranya Mbappe meninggalkan PSG musim depan, PSG akan menggantikannya dengan pemain yang mampu meledak gol dan tiada orang lebih baik berbanding Salah.

“Sebelum ini dia dikaitkan dengan perpindahan ke Sepa­nyol (Real Madrid atau Barcelona).

DANNY MURPHY

“Kalau cakap mengenai memenuhi impian zaman kanak-kanak dengan beraksi di sana ia pasti berbeza berbanding tamak kerana wang (berpindah ke PSG).

“Dia kelihatan gembira di Anfield dan bersemangat menja­ringkan gol. Saya tidak terkejut kalau dia menyambung kontrak bersama Liverpool,” katanya.

Sementara itu, pengendali England, Gareth Southgate pula menyifatkan Bellingham sebagai pemain luar biasa, dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool pasti mengujakan penyokong Reds.

“Jude fenomena. Sejak beberapa hari lalu, dia berlatih untuk mengatasi pemain-pemain utama, dia bukan saja ada teknik tetapi matang. Dia pemain yang menarik,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya