PETALING JAYA: Kehadiran jurulatih berpengalaman di peringkat antarabangsa, Datuk Ong Kim Swee bersama Sabah bakal menjadikan The Rhinos pasukan yang perlu diberi perhatian dalam saingan Piala Malaysia.
Walaupun kurang menyerlah di Liga Super dengan hanya melakar empat kemenangan, namun sentuhan bekas jurulatih kebangsaan, Kim Swee menjadikan Sabah pasukan yang sukar dijangka dan pasti tampil dengan persembahan berbeza dalam perebutan trofi tertua itu.
Kempen Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-100 akan bermula Ahad ini yang menyaksikan Sabah diletak dalam kumpulan D bersama juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City (PJ City) dan pasukan Liga Perdana yang menduduki tangga keempat.
Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan percaya, skuad Sang Badak akan bertukar taktikal atau berlaku perubahan dari segi posisi pemain.
“Selepas diambil alih Kim Swee, semua pasukan tidak tahu cara permainan Sabah selepas ini.
“Orang kata macam ‘bom jangka’, kita tidak boleh nak ramalkan.
“Bagi saya, Sabah salah satu pasukan yang akan mengiringi JDT (ke suku akhir dari Kumpulan D) walaupun mungkin perebutan naib juara kumpulan dengan PJ City dijangka sengit,” katanya.
Sabah menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kesembilan dengan mengumpul 19 mata selepas merekodkan empat kemenangan, tujuh seri dan 11 kali tewas.
Harapan tinggi kini diletakkan di atas bahu Kim Swee bagi membawa sinar buat Sabah dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Sabah akan memulakan kempen Piala Malaysia dengan menentang PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Isnin depan.