KOTA BHARU: Turun dengan misi memburu kemenangan, Kelantan FC bagaimanapun keciciran mata selepas diikat 2-2 oleh Sabah FC 2-2 pada aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Pasukan pelawat juga mengejutkan tuan rumah dengan gol pembukaan pada minit ke-31 selepas Risto Mitrevski menyempurnakan sepakan penalti setelah bola lambungan Mohd. Amri Yahyah terkena tangan kapten Kelantan FC, Mohd. Zubir Azmi.
The Red Warriors (TRW) bagaimanapun tidak menunggu lama untuk mengikat kedudukan 1-1, lapan minit kemudian selepas ayam tambahan mereka, Natanael Ringo yang tidak dikawal tenang melambung bola lorongan Mior Dani Armin Mior Ariffin untuk menewaskan penjaga gol Sabah FC, Reny Rining.
Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas-balas serangan, namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah menyaksikan kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Kelantan hampir menambah jaringan pada minit ke-53, namun sepakan percuma Christos Intzidis hanya beberapa meter tersasar dari ‘mulut’ gol Sabah.
Minit ke-57, TRW terus bernafsu memburu jaringan tambahan menerusi rembatan padu pemain gantian, Haziq Subri, namun berjaya diselamatkan Reny Rining.
Kem Kelantan FC bersorak gembira apabila Haziq akhirnya meledak gol kedua TRW pada minit ke-70 menerusi rembatan dalam kotak penalti selepas ‘tenang’ menyudahkan susulan sepakan kencang Ringo yang sebelum itu terkena tiang gol pelawat.
Pelawat kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Mitrevski pada minit ke-78 selepas Muhammad Yusri Yuhasmadi menjatuhkan N. Thanabalan.
Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, TRW cuba bangkit menjarakkan kedudukan, bagaimanapun sepakan percuma Haziq pada masa tambahan babak kedua diselamatkan Reny.